Friday, May 22, 2009

Tugasan 1 :Ulasan buku kajian tindakan

Tugasan 1

Tajuk buku : All you need to know about Action Research

Pengarang : Jean Mc Niff & Jack Whitehead

Penerbit : SAGE Publications

Tahun :2006

Kajian tindakan merupakan kajian yang dilakukan individu terhadap sesuatu masalah yang dihadapi, diikuti dengan memberi penambahbaikan kepada permasalahan tersebut, menilai setiap tindakan yang dilakukan untuk mencapai hasil yang lebih baik daripada sebelumnya. Sekiranya penambahbaikan yang digunakan masih tidak memuaskan, proses ini akan berulang sehingga mencapai hasil yang mantap.

Kajian tindakan ini tidak terhad kepada profesion, masa, prosedur dan isu yang tertentu.Ia boleh dilakukan oleh semua individu, pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan apa cara sekalipun tetapi tidak lari daripada langkah utama iaitu merancang, bertindak, memerhati dan refleksi.Mc Niff menegaskan kajian tindakan adalah penyelidikan pendidikan kerana guru sendiri bertindak sebagai penyelidik yang akan memperkembangkan dirinya serta profesionnnya.Selain itu Kajian tindakan merupakan satu kajian terhadap situasi sosial yang melibatkan guru sebagai penyelidikan dengan matlamat untuk memperbaiki amalan guru melalui inovasi,refleksi dan inkuiri.

Dalam kajian tindakan, penyelidik terlibat sepenuhnya terhadap kajian yang dilakukan.Penyelidik adalah sebahagian daripada kajian tersebut.Mereka tidak ditunjuk ajar apa yang perlu dilakukan sebaliknya mereka sendiri menentukan setisp tindakan yang akan dilakukan. Penyelesaian yang dilakukan adalah lebih berbentuk kualitatif .

Tujuan kajian tindakan dalam pendidikan:

a) Menambah pengetahuan baru untuk menjadi lebih kreatif seterusnya meningkatkan lagi kualiti profesionalisme seorang guru.

b) Memperbaiki kelemahan dengan memberi penambahbaikan sama ada dalam pengurusan atau pada kaedah pengajaran dalam kelas

c) Memperluaskan perspektif dan sekaligus mengembangkan idea- idea baru yang diperolehi

d) Menjadikan ilmu lebih bermanfaat dengan berkongsi hasil kajian atau ciptaan dengan orang lain.


Reka bentuk kajian tindakan


Secara amnya, Jean Mcniff merumuskan 4 langkah utama yang terlibat dalam kajian tindakan iaitu merancang langkah tindakan,melaksanakan langkah yang dirancang,memantau dan memerhati tindakan dan menilai semula tindakan yang telah dilakukan. 4 langkah ini digunakan dalam satu kitaran dan ia akan berterusan sehingga satu tahap masalah tersebut berjaya diselesaikan. Oleh sebab itu kajian tindakan tidak lari daripada konsep perubahan.

Merancang

Sebelum melakukan perancangan,pengkaji perlu mengenalpasti masalah/isu yang perlu diberi penambahbaikan.Bagi seorang guru, isu yang mungkin menjadi perhatian adalah seperti urusan pentadbiran,kokurikulum,proses pengajaran dan pembelajaran,kebajikan serta disiplin pelajar.Menurut Whitehead(1989), dalam merancang persoalan utama yang perlu ada ialah ‘bagaimana saya boleh menambahbaik apa yang saya lakukan?’ Mc Niff et al. (2003) dalam buku ini memberi garis panduan dalam merancang tindakan berdasarkan persoalan-persoalan penting,antaranya :-

  • Apa isu yang menjadi perhatian saya?
  • Kenapa saya mengambil berat isu ini?
  • Apakah antara pengalaman saya yang membawa saya mengambil berat tehdap isu ini?
  • Apa yang saya boleh lakukan terhadap isu?
  • Apa yang saya akan lakukannya?
  • Apakah data-data yang saya boleh gunakan?
  • Bagaimanakah saya boleh menjelaskan kesannya kepada pendidikan?
  • Bagaimana saya akan memastikan kesimpulan yang saya perolehi adil dan tepat?
  • Bagaimana saya akan menilai kesahan terhadap kajian saya?
  • Bagaimana saya akan mengubah idea dan tindakan saya dalam penilaian yang saya lakukan?

Selain itu beberapa perkara yang perlu diberi pertimbangan adalah:

  • Matlamat
  • Sebab-sebab tindakan
  • Senarai tentang tindakan yang dilakukan
  • Cara-cara penilaian dan pernyataan penilaianformatif dan summative
  • Sumber rujukan,kewangan dan masa


Pelaksanaan langkah tindakan

Dalam menjalankan tindakan, pengkaji perlu berlandaskan matlamat dan bertindak mengikut persoalan-persoalan yang dipertimbangkan didalam langkah merancang. Semasa menjalankan langkah tindakan,pengkaji memerlukan kritikan untuk mengawal setiap tindakan yang dilakukan supaya tidak lari daripada perancangan.

Memantau dan mengumpul data kajian

Pengkaji perlu memerhati atau memantau setiap tindakan yang dilakukan sepanjang masa. Antara teknik yang boleh dikakukan adalah :

• Memilih teknik pengumpulan data yang sesuai dengan apa yang dikaji.
• Kekerapan mendapatkan data yang diingini. Lebih lama kajian dijalankan,lebih lama masa yang diperlukan untuk mengumpul dan menganalisis data
• Mempelbagaikan teknik pengumpulan data yang digunakan.Setiap data yang dikumpul direkod dan dihasilkan laporan bagi setiap tindakan yang diambil

Pengumpulan data melibatkan beberapa proses iaitu di mana data boleh diperolehi,bila perlu mengumpul data,meninjau dan menyimpan data.Antara bentuk data kajian yang boleh digunakan adalah seperti :

• Catatan diari,buku log,journal dan nota aktiviti kerja

Catatan dalam diari adalah catatan mengenai pemerhatian,perasaan,tindakan terhadap sesuatu situasi.Dalam catatan diari adalah penting mencatat tarikh peristiwa, masa, lokasi, responden, dan focus kajian.Setiap perubahan yang berlaku setiap hari juga perlu dicatatkan supaya perkembangan kajian yang dilakukan boleh dikenalpasti dan boleh membantu dalam rancangan tindakan susulan.

• Bahan dokumentasi seperti rekod peperiksaan, rekod latar belakang pelajar, rekod kerja pelajar dan sebagainya
Ia dapat membantu dalam membekalkan maklumat yang berkaitan dengan isu atau masalah yang dikaji untuk memahami tujuan, rasional dan sejarah sesuatu dasar.

• Transkrip yang dibuat hasil temubual
Terdapat 2 jenis temubual iaitu berstruktur dan tidak berstruktur(Terbuka). Dalam temubual berstruktur , bentuk dan kandungan soalan yang ditanya adalah terhad pada tajuk dan bidang yang tertentu sahaja. Manakala temubual tidak berstruktur pula,bentuk soalan lebih mementingkan idea dan perasaan untuk mendapatkan fakta tertentu dan ia ia mempunyai kelebihan dari segi idea yang diteroka lebih mendalam serta masa yang lebih untuk berfikir dan meluahkan perasaan

• Rakaman video dan audio
Penggambaran video menjadi semakin penting pada masa ini kerana ia dapat membantu dalam mengesan data-data yang berbentuk perlakuan sama ada guru atau pelajar Ia juga berguna untuk mengukur dan menilai kegiatan individu atau kumpulan dalam sesuatu aktiviti.

• Soal selidik
Kaedah ini sering digunakan dalam kajian yang formal dan sistematik.Ia mestilah memenuhi objektif dan mengukur fakta-fakta yang diperlukan supaya maklumat yang diperolehi memenuhi kehendak kajian.Instrumen yang digunakan juga mestilah mudah difahami

Penilaian/refleksi

Setelah tindakan dirancang dan dijalankan,penilaian atau refleksi perlu dijalankan bagi mengenalpasti keberkesanan tindakan yang dilaksanakan.Penilaian ini boleh dilakukan melalui pemantauan kendiri oleh pengkaji ataupun penilaian bersama pihak lain.Kepentingan proses penilaian kepada kajian tindakan adalah antaranya mengukur keberkesanan proses kajian, mengenalpasti kelemahan dan bahagian yang perlu diperbaiki, mengukur pencapaian objektif kajian serta sebagai panduan untuk kitaran kajian seterusnya.Proses penilaian juga boleh diterima melalui kritikan daripada rakan,ataupun pihak yang arif dengan kajian tindakan yang dijalankan. Selain itu, maklum balas daripada pelajar juga berguna sebagai gambaran respon dan penerimaan mereka terhadap setiap tindakan yang dilakukan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
penilaian boleh dijalankan secara formatif (semasa tindakan dilakukan) atau secara summatif (pada akhir asetiap kitaran tindakan).Penilaian boleh dilaksanakan secara perbincangan, borang penilaian atau temubual.


Kebolehpercayaan dan kesahan kajian tindakan

Menguji kesahan pada hasil kajian tindakan adalah merupakan peringkat yang sukar dalam setiap kitaran. Menurut buku ini,untuk menentukan kesahan pada kajian yang dijalankan, pengkaji boleh menggunakan kritikan daripada kumpulan tertentu.Kumpulan ini perlu diberi penerangan mengenai kajian yang dilakukan oleh penyelidik, dan memberi respons terhadap dapatan kajian yang dihasilkan.Penyelidik perlu menjelaskan aspek-aspek seperti objektif kajian, reka bentuk kajian yang dilakukan, prosedur kajian,pengumpulan data, analisis data dan adakah hasil yang dicapai daripada kajian tersebut memenuhi objektif dan matlamat yang dirancang.
Selain itu,ia juga boleh dinilai dengan membandingkan kajian tindakan yang dilakukan dengan beberapa kajian- kajian sebelumnya yang berkaitan.


Etika dalam Kajian Tindakan

a)Kebenaran daripada pihak yang terlibat

Setiap kajian tindakan yang dilakukan perlu mendapat kebenaran daripada pihak yang terlibat dengan cara rasmi melalui surat atau sebagainya.Jika ia melibatkan kanak-kanak atau pelajar sekolah, perlu mendapat persetujuan daripada ibu bapa atau penjaga.Kebenaran ini penting supaya tidak ada pertikaian daripada mana-mana pihak pada masa akan datang

b)Perlindungan atau kerahsiaan responden yang terlibat

Identiti dan butir peribadi responden yang terlibat perlu dirahsiakan daripada pendedahan umum bagi mengelakkan keaiban pada mana-mana pihak.Pengkaji perlu berhati-hati dan teliti dalam menamakan lokasi atau peristiwa dan rujuk pada pihak yang lebih arif dalam kajian yang dilakukan.Pengkaji perlu berjanji dengan respondan segala data dan butir peribadi akan dihapuskan sebaik kajian selesai djalankan.

c)Tiada keraguan dan maklumat yang boleh dipercayai

Dalam mengumpul data pengkaji perlu jujur dan menjalankan kajian dengan penuh integriti supaya hasil yang diperolehi mendatangkan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat.Data yang diperolehi mestilah boleh dipercayai, pengkaji itu sendiri juga perlu memastikan dirinya boleh dipercayai oleh responden supaya responden boleh bekerjasama dengan baik.


Penilaian keseluruhan tehadap buku ini.

Setelah membaca keseluruhan buku ini, saya dapati buku ini sesuai dijadikan rujukan bagi memudahkan saya memahami mengenai Kajian Tindakan. Bahasa Inggeris yang digunakan dalam buku ini juga mudah dibaca dan difahami.Isi kandungan yang terangkum dibahagikan mengikut topik-topik secara tesrsusun dan terangkai yang memudahkan saya menghubungkaitkan isi-isi penting dari satu topik ke satu topik seterusnya. Contohnya daripada pengenalan kajian tindakan,diikuti kepentingannya,prosedur kajian tindakan dari satu proses ke satu proses yang lain dan sebagainya.Buku ini juga menyediakan contoh-contoh kajian tindakan yang pernah djalankan di luar negara yang membantu meningkatkan pengetahuan dan kefahaman saya serta memberi idea baru kepada saya dalam mempelajari subjek kajian indakan ini.

Walaubagaimanapun masih ada sedikit masalah bagi saya terhadap buku ini.Contohnya ia tidak menjelaskan lebih mendalam bagaimana proses dan cara menganalisis data boleh dilakukan untuk dijadikan bukti dalam hasil dapatan kajian.
Penerangan mengenai kesahan dan kebolehpercayaan terhadap kajian tindakan yang dijalankan juga agak mengelirukan saya.Ia hanya menerangkan kaedah kritikan daripada pihak-pihak tertentu sahaja sebagai cara menetukan kebolehpercayaan dan kesahan terhadap sesuatu kajian.





No comments:

Post a Comment